icon_sirih3b.jpg (21912 bytes)

logo.jpg (61012 bytes)

© 1999 Hak Cipta Terpelihara
Edisi 2001
Perpustakaan Negara Malaysia

sp-dongeng.htm


ani_sirih.gif (88811 bytes)ani_sirih.gif (88811 bytes)
PURPLE.BAR.gif (7634 bytes)
arch.jpg (1737 bytes)

tit-dongeng.jpg (14770 bytes)

vietnam.jpg (7226 bytes)

Dizaman pemerintahan Raja Hung Voung yang ketiga, tinggallah seorang pembesar bernama Cao. Dia mempunyai dua orang anak lelaki bernama Tan dan Lang. Kedua anak lelaki itu seperti bersaudara kembar. Bentuk badan dan paras mereka sangat serupa. Kedua mereka sama-sama kacak dan sama-sama tampan. Mereka mempunyai bulu kening yang lebat, hidung yang mancung dan mata yang bulat lagi bersinar-sinar. Selain dari persamaan yang terdapat pada kedua beradik itu, mereka juga saling kasih mengasihi diantara satu dengan yang lain.

Malangnya Pembesar Cao dan isterinya telah meninggal dunia. Tinggallah mereka dalam keadaan yatim piatu. Kematian kedua ibu bapa mereka tidaklah dapat mengurangi kehendak-kehendak mereka itu. Untuk mengelakkan penderitaan-penderitaan akibat dari kemalangan itu, mereka telah mengambil keputusan hendak meninggalkan rumah, pergi ke tempat lain untuk mencari kerja.

Kebetulan telah ditakdirkan Tuhan, tempat pertama yang mereka pergi ialah ke rumah Hakim Luu, salah seorang sahabat karib orang tua mereka. Hakim Luu menyambut mereka dengan mesra sekali di rumahnya yang besar itu. Dipeliharanya mereka seperti anak kandungnya sendiri, kerana Hakim Luu tidak mempunyai anak lelaki. Dia hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja. Kulitnya seperti kapas dan parasnya cantik seperti bulan purnama.

Untuk menambah erat rasa kasih sayang dan persaudaraan di antara ketiga mereka itu, terniatlah dihatinya hendak mengahwinkan salah seorang dari anak lelaki itu dengan anak perempuannya. Sebenarnya, kedua beradik itu secara diam-diam telah mencintai anak perempuan Hakim Luu itu. Mereka tertarik akan kecantikan dan tingkahlakunya yang lemah lembut. Walaupun demikian, kedua-dua mereka itu enggan mengahwini anak perempuan Hakim Luu. Masing-masing mendesak supaya orang lain sahaja yang mengahwininya. Oleh kerana susah hendak mendapat persetujuan diantara mereka, maka Hakim Luu yang bijaksana itu pun menjalankan ikhtiar untuk mengetahui siapakah diantara mereka yang lebih tua.

Oleh Hakim itu, lalu disuruhnya menyediakan makanan dengan hanya meletakkan sepasang sepit sahaja. Apabila mereka duduk hendak makan, Lang pun mengambil penyepit yang sepasang itu, lalu diserahkannya kepada Tan dengan tertibnya. Tan menerima pemberian Lang seperti biasa sahaja. Dengan perbuatan itu, tahulah Hakim Luu bahawa Tan adalah yang tua dan telah terpilih untuk menjadi pasangan anak perempuannya yang tunggal itu.

Tan merasa dirinya orang yang paling bahagia sekali di dunia ini. Dia benar-benar mencintai tunangnya dan berikrar hendak sehidup semati. Tan leka sekali dengan tunangnya. Dia mengarang syair-syair percintaan yang melukiskan kebahagiannya dan menyanyikannya lagu itu. Oleh kerana terlalu asyiknya dia, maka terlupalah dia kepada adiknya Lang.

Selepas perkahwinan abangnya itu, perasaan cinta Lang kepada gadis yang sekarang telah menjadi kakak iparnya itu pun mulai hilang. Dia telah menerima keputusan itu kerana baginya kebahagiaan abangnya adalah kebahagiaannya juga. Lama kelamaan sedarlah dia bahawa Tan telah berubah terhadapnya. Kemesraan Tan tidak seperti dahulu lagi.

Tinggallah Lang seorang diri di biliknya dalam kesepian. Dia berdiam diri sahaja dan tidak bergerak-gerak. Sambil itu dia menunggu kalau-kalau ada sesuatu tanda persaudaraan dari abangnya. Tetapi semuanya hampa belaka. Alangkah sedihnya dia ketika mengenangkan sikap abangnya yang tidak mahu mempedulikannya lagi.

Dalam hatinya dia berkata: "Beginilah nasibku yang malang. Abangku sendiri tidak lagi menyayangi aku. Apalah gunanya aku tunggu di sini? Tidak siapa pun yang mempedulikan diriku. Labih baik aku pergi sahaja dari sini."

Lang pun meninggalkan rumah itu dengan segera, kerana dia tidak tahan lagi menanggung kesedihan. Setelah beberapa tahun mendaki gunung, menyeberangi sungai dan paya, akhirnya sampailah dia ke tepi sebuah lautan yang luas. Ketika itu berhembuslah angin. Hari sudah hampir malam. Lang pun mencari-cari tempat di sekitar itu untuknya bermalam. Malangnya tidak ada sebuah tempat pun yang ditemuinya.

Oleh kerana malam itu terlalu gelap, tidaklah dapat dia bergerak dari situ. Perutnya sangat lapar, tekaknya terlalu haus, sedangkan tubuhnya terlalu lesu dan tak berdaya lagi. Dia pun duduklah di atas rumput meratapi nasibnya. Akhirnya dia pun matilah. Mayatnya bertukar menjadi sebuah batu kapur yang putih.

Apabila Tan sedar adiknya telah melarikan diri dari rumahnya, maka dia pun merasa menyesal. Dengan perasaan yang sedih dan pilu, dia pun pergilah mencari adiknya. Setelah beberapa lamanya dia berjalan melalui hutan rimba, mendaki gunung dan mengharungi paya yang dilalu oleh adiknya, maka dia pun sampailah ke tepi pantai lautan yang biru itu. Oleh kerana terlalu letih, dia pun duduk tepi pantai itu, lalu menangis tidak berhenti-hentinya. Akhirnya dia pun mati di situ dan bertukar menjadi pokok pinang.

Isteri Tan yang di rumah telah puas menunggu kepulangan suaminya. Akhirnya dia pun keluar pergi mencari suaminya yang sanyat dikasihinya itu. Dia pun berjalanlah tidak berhenti-hentinya. Akhirnya dia pun sampailah pula ke tepi pantai tempat suaminya mati itu. Oleh kerana tersangat letih dan tak berdaya hendak meneruskan perjalanannya, dia pun bersandarlah di pokok pinang di tepi pantai itu lalu menangis. Dia menangis tidak berhenti-hentinya dan akhirnya dia pun rebah lalu mati. Seperti mayat kedua beradik itu, maka mayatnya pun bertukar menjadi pokok sirih dan melilit di pokok pinang itu. Sempena mengingati mereka, maka penduduk di tempat itu kemudiannya telah mendirikan sebuah rumah ibadat sebagai mengingati ketiga-tiga manusia yang saling cinta mencintai itu.

Sumber: Yulis Haji Alwi
            Keluarga, April 1989

 

sebelum.gif (1470 bytes)

atas.gif (1378 bytes)

berikut.gif (1442 bytes)

| Menu Utama | Sekapur Sirih | Asal Usul | Penggunaan | Dongeng |
| Tepak Sirih |
Pengertian | Bekas Sirih | Cembul | Kacip | Gobek | Ketur | Celepa |
| Bujam Epok | Sirih | Sirih Junjung | Pinang | Gambir | Tembakau |
| Bunga Cengkih | Kapur | Gurindam | Penyelidik | Bibliografi |
| Galeri Foto | Agensi | Pautan | Warkah Titipan | Cetusan Rasa |