Kegemilangan manuskrip Melayu dipancarkan dalam terbitan ilmiah yang diusahakan oleh bukan sahaja penyelidik tempatan bahkan dihasilkan juga oleh golongan intelek luar negara. Terbitan yang bersifat ilmiah ini digunakan sebagai sumber rujukan penting dalam pengajian Melayu dan sebagai bacaan masyarakat untuk memberi kesedaran tentang kekayaan ilmu yang terkandung dalam manuskrip.

Tempatan
Tuhfat al-Nafis naskhah Terengganu
Terbitan menarik dalam bentuk salinan faksimili manuskripTuhfat al-Nafis versi Terengganu. Naskhah asal dimiliki oleh Tengku Ismail bin Tengku Su.Naskhah Tuhfat al-Nafis Terengganu ini telah disalin untuk simpanan Istana Diraja Terengganu, semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918).
Misa Melayu
Mengandungi pengenalan oleh Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dan salinan faksimili manuskrip Misa Melayu daripada koleksi Pusat Manuskrip Melayu,Perpustakaan Negara Malaysia. Misa Melayu adalah hasil karya Raja Chulan bin Raja Abdul Hamid yang menjadi sumber utama sejarah Perak sepanjang kurun ke-18. Mengandungi juga sejarah hubungan Perak dengan negeri jiran seperti Kedah dan Selangor, serta hubungan perdagangan di antara Perak dengan Belanda.
Sulalat al-Salatin: Ya'ni Pertuturan Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu)
Mengandungi hasil kajian dan transliterasi dalam Rumi manuskrip Sulalat al-Salatin yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu oleh Muhammad Haji Salleh. Sulalat al-Salatin merupakan sebuah karya sastera sejarah yang terpenting serta dianggap sebagai karya klasik Melayu yang amat dikagumi. Ianya merakamkan cerita-cerita mengenai istiadat serta jurai keturunan raja-raja Melayu serta peristiwa kerajaan Melaka.
Syair Madhi: Citra Melayu Nusantara
Sebuah buku hasil kajian Dr. Abdul Rahman Kaeh terhadap manuskrip Syair Madhi. Kisahnya mengenai pengembaraan seorang putera raja dari Maghribi yang bernama Madhi bersama dua orang sepupunya, Ibrahim Jauhari dan Ismail Dardari.
Syair Siti Zubaidah Perang China: perspektif sejarah
Mengandungi hasil kajian dan transliterasi teks oleh Drs. Abdul Rahman al-Ahmadi terhadap manuskrip Syair Siti Zubaidah yang menceritakan keberanian dan ketabahan seorang wanita zaman silam bernama Siti Zubaidah, dalam memerangi ketidakadilan dan menegakkan kebenaran.
Hikayat Indera Quraisyin: satu kajian
Hikayat Indera Quraisyin satu hikayat yang menarik dan unik, mengisahkan pengembaraan Indera Quraisyin untuk mencari Tuan Puteri Zamzam Ratna Angkasa. Naskhah ini amat menarik bukan sahaja dari segi cerita tetapi keunikannya kerana terdapat pengaruh bahasa Melayu Sri Lanka pada naskhah ini. Dibuat kupasan dengan amat baik oleh Dr.MoniqueZaini-Lajoubert, seorang pakar dalam bidang kesusasteraan Melayu yang berasal dari Perancis.
Hikayat Ahmad Muhammad
Buku hasil kajian oleh Hashim Ismail terhadap manuskrip asal Hikayat Ahmad Muhammad yang memaparkan keteguhan ikatan kasih sayang dua bersaudara, Ahmad dan Muhammad. Hikayat ini ditulis dalam bahasa yang indah, kaya dengan pengkisahan serta teladan dan sarat pula dengan nasihat.
Undang-undang Minangkabau: wacana intelektual dan warna ideologi
Mengandungi transliterasi dan analisis oleh Dr. Umar Junus terhadap manuskrip Undang-Undang Minangkabau mengenai aspek wacana dan hubungan bahasa Melayu dan Minangkabau yang menjurus kepada peranan dan kemahiran orang Melayu lama dalam bidang kepengarangan dalam tradisi penulisan manuskrip Melayu. Kupasan yang dibuat oleh penulis membantu pemahaman tentang usaha menegakkan Undang-Undang Minangkabau di dalam bumi Minangkabau.
Petua Membina Rumah Melayu: dari sudut etnis antropologi
Terbitan hasil kajian Drs. Abdul Rahman al-Ahmadi mengenai pembinaan rumah masyarakat rumpun Melayu dari sudut antropologi berdasarkan kajian terhadap 5 naskhah manuskrip petua membina rumah dan kitab Tajul Muluk. Memaparkan pengaruh adat resam, alam semesta dan kepercayaan dalam pembinaan rumah Melayu.
Salasilah Melayu dan Bugis
Mengenai kegiatan orang-orang Bugis di Kepulauan Melayu iaitu di Kalimantan, Kepulauan Riau serta Semenanjung Tanah Melayu sehingga tahun 1737. Dikarang oleh Raja Ali Haji seorang pujangga dalam sejarah kesusasteraan Melayu.
Manhalush Shafi
Buku ini ditulis oleh Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah.Mengandungi pembicaraan mengenai kitab Manhalush Shafi karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani. la juga memberi transliterasi dalam Rumi naskhah yang disalin oleh Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani.
The Oldest Known Malay Manuscript : A 16th Century Malay Translation of the Aqa'id of Al-Nasafi
Hasil kajian oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas yang membicarakan dengan terperinci mengenai manuskrip Melayu yang tertua pernah ditemui, iaitu, Aqa'id Al-Nasafi.
Syair-syair Melayu Riau
Sebuah karya oleh Abu Hassan Sham yang menyingkap perkembangan syair-syair Pulau Penyengat dan Pulau-pulau Riau. Mengenai kegiatan awal penulisan dan kepengarangan syair Melayu Riau; sumbangan pemerintah dalam kegiatan kesusasteraan di Riau; perkembangan pendidikan serta tarikat, pemaparan hasil pengkajian yang mendalam terhadap syair-syair agama Riau khususnya Kitab al- Nikah. la juga menyorot bakat besar pengarang Raja Ali Haji.

Carian Manuskrip Melayu 
 
Paparan Terbaik - Netscape4 or IE4 ke atas dengan resolusi 800x600; RealPlayer dan Flash Player.

Hak Cipta Terpelihara ©2002 Manuskrip Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia, 232, Jalan Tun Razak, 50572 Kuala Lumpur, MALAYSIA.